Saturday, April 27, 2013

~SKIZOFRENIA~FALSAFAH MINDAku~


ULASAN SKIZOFRENIA DAN KAEDAH RAWATANNYA

“ BEAUTIFUL OF MIND”
Create by: Sakinah Consultant 




(Filem "Beautiful of Mind")



Apa Itu ..SKIZOFRENIA 


Skizofrenia merupakan sejenis penyakit yang jarang berlaku namun begitu ia adalah suatu keadaan yang mana pemikiran seseorang itu sedang mengalami gangguan. Ia adalah kecelaruan mental yang sering berlaku, kompleks serta sukar untuk ditentukan. Secara dasarnya kecelaruan skizofrenia juga dikenali oleh pakar sebagai psikosis. Skizofrenia telah menyebabkan penghidapnya gagal untuk berfungsi terhadap perkara asas dengan baik. Kebiasaannya penghidap skizofrenia gagal berfungsi secara sosial dan persekitaran serta tidak berupaya untuk menguruskan diri mereka sendiri. Skizofrenia sebenarnya adalah satu penyakit kronik dan merupakan masalah kegagalan fungsi otak. Pesakit skizofrenia biasanya mendengar suara yang tidak didengari oleh orang lain atau mempercayai orang lain sedang membaca dan menguasai pemikiran mereka, mahupun cuba mencederakan mereka. Keadaan ini biasanya menimbulkan ketakutan kepada pesakit. Mereka juga sering bercakap perkara-perkara yang tidak masuk akal, duduk tanpa bercakap atau terlalu banyak bercakap selama berjam-jam atau kelihatan baik sehinggalah memperkatakan apa yang mereka fikirkan.  Berdasarkan filem “Beautiful of Mind” yang  kita dapat lihat antara watak  (Nash) seorang yang bijaksana dan pakar matematik menghadapi  penyakit skizofrenia sepanjang usianya dan kaedah rawatan yang digunakan dalam menghadapi skizofrenia tersebut.

SEJARAH SKIZOFRENIA

Skizofrenia adalah kecelaruan mental  telah ditemui sejak beratus tahun dahulu. Seawal tahun 1860 ahli psikiatri terkenal dari Perancis, Morel menghuraikan sindrom ini sebagai demence precox. Keadaan ini juga pertama kali digambarkan oleh, Father of Psychiatrist Emil Kraeplin  (1896) dari Jerman menggelarkan kecelaruan ini sebagai demensia praecox ia berdasarkan gejala dan riwayat alamiahnya. (I.M.Ingram, G.C.Timbury, R.M Mowbray, 1995). Perkataan demensia dalam bahasa Latin membawa maksud pecahan dalam fungsi mental dan praecox pula bermaksud sebelum peringkat matang. Kraeplin menjelaskan bahawa kecelaruan ini merujuk kepada peringkat gangguan yang melemahkan kemampuan proses pramatang otak bagi seseorang itu atau secara ringkasnya adalah penyakit otak. Beliau turut menjelaskan bahawa kecelaruan ini memerihalkan keadaan perpecahan mental yang bermula dari zaman kanak-kanak.

        Pada tahun 1911 ahli psikiatri dari Sweeden, Eugen Bleular telah menyangkal teori yang dikemukakan oleh Kraeplin. Bleular menolak penakrifan demensia praecox kerana menganggap kecelaruan ini sebagai simptom atau kejadian yang berlaku secara semulajadi pada seseorang itu. Bleular menggantikan demensia praecox dengan schizophrenia. Schizo bermaksud terbelah, tercerai atau terpisah (split) iaitu perpecahan dalam pemikiran. Phrenia pula bermaksud fungsi psychic atau mind (minda) iaitu antara keadaan realiti dan fantasi. Dalam kata lain schizophrenia ialah split of the mind. Bleular juga mempercayai bahawa kecelaruan ini bukanlah sekadar  kecelaruan personaliti semata-mata malahan terjadi disebabkan oleh keadaan tekanan yang dialami. Pengalaman atau keadaan yang dirasai dan dialami oleh penghidap skizofrenia terlalu sukar untuk difahami sehingga ada yang menyatakan bahawa:

“ ….you think you know what it’s like to have schizophrenia, but you
really don’t. No one knew what it feels to have this problem unless they
 have actually had them.”  (Mueser dan Gingerich, 1955)


CERITERA FILEM “BEAUTIFUL MIND”

Filem yang mendapat anugerah yang terulung iaitu academy Award. Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon yang terkenal iaitu Russel Crowe  (John Forbe Nash), Ed Harris ( William Parcher), Jenifer Connely (Alicia Nash), Chritopher Plummer (Dr.Rosen), Paul Bettany ( Charles Herman), Vivien Cardone) Marchee. John Nash merupakan seorang genius dan pakar dalam matematik disebabkan itu beliau hidup dalam kehidupan bermodelkan matematik. Beliau sangat percaya dengan angka.

Filem ini bermula dari kisah John Nash sebagai mahasiswa di preceton Universiti. Beliau  adalah mahasiwa yang unik, namun tidak suka dengan buku, kelas dan sering ponteng dalam mengikuti pelajaran dikuliah. Bagi beliau keadaan itu mampu mengganggu kretiviti dan keaslian ideanya. Sikap beliau cenderung kepada keadaan yang  tidak suka bergaul dengan masyarakat dan lebih suka bersendiri. Dalam perjalanan kisah hidupnya beliau telah mengidapi satu penyakit psikologi  iaitu dikenali sebagai skizofrenia. Beliau telah menghadapi pelbagai halangan dalam mengecapi kejayaan, namun keadaan tersbut menyebabkan keadaannya bertambah parah apabila beliau tidak mampu untuk membezakan antara halusinasi dan kenyataan.


Suatu ketika beliau dipanggil ke Pentagon untuk memecahkan kod Rahsia. Selepas itu beliau terus berfantasi dengan bertemu dengan pegawai yang mengajak beliau untuk bekerja sbagai mata-mata. Dalam dunia fantasinya is seolah-olah berada dalam keanggotaan rahsia jabatan pertahanan AS yang sedang melakukan kajian terhadap pengeboman bom yang akan dilakukan oleh Rusia.



Beliau telah berkahwin dengan salah seorang muridnya iaitu Alicia, setelah beberapa tahun perkahwinan mereka Alicia menyedari tingkah laku suaminya yang aneh dan akhirnya John Nash dibawa kerumah sakit jiwa untuk perubatan dalam masalah penyakit skizofrenia. Namun begitu, John Nash kembali berhalusinasi dan semakin parah. Walaupun begitu sepanjang keadaan ini berlaku pada John Nash, Alicia merupakan seorang Isteri yang setia dan baik perwatakannya beliau telah berkorban secara zahir dan batin terdadap kehidupannya, kasih sayng dan kesabarannya membantu suaminya dengan harapan suaminya dapat dipulihkan semula.



Di akhir kisah Beautiful of Mind, John Nash dianugerahkan penghargaan Nobel dalam bidang Ekonomi di Swedia pada tahun 1994 untuk teori ekulibriumnya yang banyak berjasa dalam bidang ekonomi dunia. Ia menutup penganugerahan tersebut ‘aku selalu percaya akan angka’



Beginilah kefahaman secara ringkas yang kami simpulkan sebagai ceritera sebuah perjalanan seorang pesakit Skizofrenia dalam melalui kehidupannya. Liku-liku perjalanannya penuh berduri namun begitu kecekalan hatinya membawa hakikat kajayaannya tersendiri. berikut adalah bahagian yang penting dalam video yang menggamvarkan beliau berhalusinasi: (skizofrenia)




Statistik Skizofrenia


Perkiraan risiko skizofrenia pada suatu waktu tertentu 0, 5-1 %. Sekitar 15 % penderita skizorfrenia masuk ke rumah sakit jiwa, 45% populasi rumah sakit jiwa merupakan pesakit skizorfrenia, dan sebahagian  besar pesakit skizofernia akan tinggal dirumah sakit untuk waktu yang lama. Pesakit yang mengidap skizorfrenia ini juga lebih banyak melibatkan kaum lelaki berbanding wanita dan kebanyakkannya bermulia pada usia 30 tahun.(I.M.Ingram, G.C.Timbury, R.M Mowbray, 1995)







SIMPTOM SKIZOFRENIA



Simptom skizofrenia dapat dibahagikan kepada tiga aspek yang penting melibatkan kecelaruan kognitif, gangguan emosi dan kecelaruan tingkah laku.

*      kecelaruan kognitif

Penghidap skizofrenia akan mengalami keadaan ‘tidak berpijak di alam nyata’. Pesakit biasanya mempunyai kepercayaan ganjil dan tidak betul, mempunyai persepsi yang salah, pemikiran dan bahasa yang terpisah-pisah dan tidak logik. Mereka juga mengalami kecelaruan tumpuan iaitu tidak dapat memberikan tumpuan kepada sesuatu perkataan atau peristiwa. Menurut Ramli (1978) dalam Azizi (2006) seseorang yang mengalami kecelaruan ini ialah seorang introvert yang suka bersendirian, sukar dan tidak berasa selesa bergaul dengan orang lain serta gemar berkhayal dan lebih suka hidup dengan fantasinya sahaja.


Hal ini didapati di dalam filem beautiful mind iaitu John Nash adalah lelaki sederhana dan peribadinya seorang yang penyendiri, pemalu, rendah diri serta introvert. Ungkapannya di dalam filem tersebut adalah “ Aku tidak terlalu suka berhubungan dengan orang dan rasanya tidak ada orang menyukaiku. “ ujar Nash berkali-kali.


Kecelaruan persepsi ini dikenali sebagai halusinasi dan kecelaruan kepercayaan pula dikenali sebagai delusi. Kecelaruan kognitif dapat dibahagikan kepada dua iaitu halusinasi dan delusi. 


Ø      Halusinasi

Halusinasi persepsi tanpa kehadiran rangsangan deria. Pesakit mungkin dapat mendengar, melihat, merasa ataupun mencium sesuatu yang sebenarnya tidak ada di persekitarannya. Halusinasi ini seolah-olah seperti benar kepada pesakit dan mungkin disebabkan oleh kebimbangan dan perubahan-perubahan fungsi dalam sistem saraf. Bagi manusia yang normal mimpi semasa tidur yang dialami mungkin dapat menggambarkan halusinasi bagi penghidap skizofrenia. Jenis-jenis halusinasi dapat dibahagikan kepada halusinasi pendengaran dan penglihatan.  Halusinasi pendengaran apabila seseorang itu dapat mendengar suara seperti mendengar suara seperti mendengar suara tuhan, hantu, jiran ataupun saudara mara yang mungkin akan mengatakan sesuatu yang baik ataupun tidak baik walhal suara itu tidak ada. Halusinasi penglihatan berlaku apabila penghidap skizofrenia dapat melihat sesuatu dengan jelas, dekat dan bergerak tetapi pada hakikatnya tidak dapat dilihat oleh orang yang normal 


Di dalam filem beautiful mind, ia menunjukkan bahawa John Nash sering berhalusinasi dengan persekitarannya dan merasa ada orang yang ingin membunuhnya di dalam dunia yang nyata walaupun hal tersebut tidak pernah wujud.





*antara halusinasi yang dialami*
Ø Delusi 


Menurut Mueser dan Gingerich (1995) delusi merupakan kepercayaan yang salah yang tidak dikongsi dengan orang lain. Ia adalah kepercayaan yang tidak berdasarkan realiti dan sering menganggapnya sebagai perkara yang betul-betul berlaku. Sebagai contoh pesakit percaya bahawa beliau adalah orang yang terkenal ataupun percaya ada pihak cuba menipu, memalukannya, mengintip, menjatuhkannya, mencederakan, membunuh ataupun menghancurkannya


Terdapat Beberapa Jenis Delusi iaitu:


A.     Delusi Penyeksaan dan Penganiayaan: pesakit mempercayai bahawa masyarakat sentiasa berbicara tentang dirinya, mengawasi tindak tanduknya, menyimpan dendam terhadapnya dan cuba membunuhnya.
B.     Delusi Kebesaran dan Kemuliaan: wujud daripada perasaan rendah diri dan berasa diri tidak selamat. Pesakit mempercayai bahawa orang sentiasa mengawasinya kerana kekuasaan yang dimilikinya.

Sebagai contoh John Nash menggangap dirinya mempunyai kelebihan sebagai agen dan penyimpan kod rahsia.

C.      Delusi Pengaruh: pesakit percaya adanya kuasa luar yang cuba mengawasinya. Dia juga merupakan individu yang dapat mempengaruhi orang lain dengan utusan atau perintah daripada Tuhan yang dipertanggungjawabkan.
D.     Delusi Hipokondriak: pesakit merasakan kesakitan tubuh badan yang pada hakikatnya adalah palsu.
E.     Delusi Sangkaan: pesakit percaya semua perbuatan tertumpu kepadanya.Semua berita di akhbar, radio dan televisyen hanya berbicara tentang dirinya.
F.      Dipersonalisasi: pesakit percaya tubuh badan mereka berubah bentuk kepada bentuk yang tidak menyerupai manusia.
G.     Derealisasi: pesakit percaya alam semulajadi mengalami perubahan yang jelas.

   


*                       Gangguan Emosi

Gangguan emosi ini bermaksud kurang ataupun tidak menunjukkan gerak balas emosi ataupun mempunyai gerak balas emosi yang tidak sesuai dengan situasi. Proses pemikirannya sering kali tidak logik dan tidak berkait atau berkesinambungan antara satu dengan lain. Misalnya, bersedih ketika orang lain bergembira, ketawa ketika orang lain menangis dan sebagainya. Antara jenis-jenis gangguan emosi adalah:

A.     Emosi yang tidak sesuai: berlaku apabila emosi tidak sesuai dengan situasi berlaku kepada pesakit.Contohnya, apabila diminta mematikan radio, pesakit akan ketawa secara keterlaluan.

B.     Emosi malap: emosi yang sentiasa murung dan tidak menceriakan. Contohnya, pesakit hanya senyum sedikit, tanpa menunjukkan senyuman yang sewajarnya apabila diberikan hadiah.

C.      Emosi berlebih-lebihan: berlaku apabila pesakit mengalami emosi yang berlebihan daripada yang sepatutnya. Contohnya, pesakit menunjukkan kegembiraan yang melampau seperti melonjak-melonjak dan ketawa yang kuat apabila diberikan duit walaupun hanya berjumlah 50 sen.

D.     Emosi mendatar: berlaku apabila pesakit tidak menunjukkan tindak balas emosi terhadap peristiwa atau situasi yang berkaitan dengan dirinya. Contohnya, pesakit tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila diberitahu bahawa kucing kesayangannya mati.

Hal ini terdapat pada diri John Nash apabila mengendong anaknya tanpa emosi dan perasaan.

E.     Anhedonia: keadaan pesakit tidak mampu mengalami keseronokan, menyebabkan emosi pesakit kosong dan sesetengah daripada mereka akhirnya membunuh diri.



*Kecelaruan Tingkah Laku



  Kecelaruan tingkah laku berlaku apabila pesakit menarik diri daripada perhubungan sosial (tarik diri sosial). Dalam kes tertentu, mereka inginkan hubungan yang rapat dengan orang lain, tetapi takut kepada orang ramai ataupun menunjukkan kurang minat pada orang lain. Kadangkala pesakit hilang motivasi, tiada aktiviti yang bermatlamat. Mereka juga mengalami kecelaruan seperti melakukan ekspresi muka yang ganjil, terlalu aktif ataupun sebaliknya tidak bergerak langsung ataupun seperti robot. Kadangkala bahasa pesakit sukar difahami. Mereka juga boleh bertindak seperti kanak-kanak dan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai di khalayak ramai misalnya daripada segi pakaian. Terdapat pesakit yang tidak mampu menjaga dan membersihkan diri seperti tidak mandi,menggosok gigi dan menukar pakaian. Menurut Hawari (2003), seseorang yang menderita skizofrenia adalah seseorang yang mengalami keretakan jiwa atau keretakan keperibadian.

JENIS-JENIS SKIZOFRENIA


Tiga jenis skizofrenia yang utama iaitu skizofrenia paranoid, heberfrenik dan katatonik.




*Skizofrenia Paranoid

Pesakit mempunyai kepercayaan palsu atau delusi yang sentiasa menyimpang daripada kebenaran yang normal. Ciri-cirinya pesakit mengalami halusinasi, delusi, suka bertengkar dan curiga terhadap orang lain. Keadaan ini biasanya dirujuk sebagai skizofrenia besar (skizofrenia grandeur). Pesakit curiga pada orang lain dan menunjukkan kemarahan yang berlebih-lebihan. Misalnya, mereka mungkin mencurigai orang lain dan percaya mereka akan diculik, dimalukan atau dibunuh. Mereka akan bertindak ganas dengan tujuan melindungi diri mereka berdasarkan kepercayaan palsu ini. Pesakit secara relatifnya kelihatan normal seperti orang normal yang lain meliputi wajah, berpakaian dan seumpamanya. Skizofrenia ini juga disebut skizofrenia parafenik atau parafrenia.

 Hal ini didapati pada ada usia tiga puluhan, John Nash menderita serangan pertama skizofrenia paranoid, Nash menunjukkan gejala-gejala delusi, halusinasi, ketidaktentuan fikiran dan perasaan ke arah tahap yang parah.



*  Skizofrenia  heberfrenik (kacau-bilau)

   Skizofrenia heberfrenik adalah jenis yang paling serius dan sering dialami pada peringkat awal kehidupan seseorang. Ciri-cirinya adalah suka menarik diri daripada bersosial secara ekstrim, halusinasi, delusi, kebodohan, mempamerkan tingkah laku yang tidak sesuai, tingkah laku ganas dan tingkah laku ganjil yang lain. Skizofrenia jenis ini sama seperti paranoid daripada segi adanya delusi dan halusinasi, tetapi tidak teratur, berpecah-pecah sehingga ia tidak mempunyai makna langsung.



*  Skizofrenia  katatonik




Pesakit biasanya tidak menunjukkaan pergerakan langsung (tubuh badan menjadi kaku) dan tidak sedarkan diri ataupun menggoyangkan badannya dengan cara yang melampau. Biasanya pesakit bertindak dalam kedua-dua keadaan, iaitu berdiam diri (kaku seperti patung) dalam beberapa waktu dan menggoncangkan badan ataupun bercakap tidak henti-henti dalam waktu yang lain. Mereka mungkin berada dalam keadaan kaku sehingga beberapa jam lamanya.




KAEDAH-KAEDAH RAWATAN SKIZOFRENIA


Terapi Konvulsi Elektrik (kejutan)

Terapi Konvulsi Elektrik (TEK) dikenali sebagai terapi kejutan. Elektrik bervoltan rendah digunakan untuk memberikan kejutan secara teraputik kepada sistem otak.

Dalam filem A Beautiful Mind Dr. Rosen telah merawat Nash dengan kaedah konvulsi elektrik ( kejutan ). Terapi ini dilakukan sebanyak lima kali seminggu dan berlanjutan selama 8 bulan.




Rawatan Psikoanalisa dan Terapi Psikodinamik


Pendekatan ini cuba dijalankan tetapi ia mendapat tentangan daripada Freud. Freud tidak yakin pada pendekatan ini kerana perhubungan pesakit dengan dunia fantasi sukar menjalinkan hubungan baik antara pesakit dan kaunselor. Pengamal pendekatan psikoanalisa lain seperti Harry Swtack Sullivan dan Frieda Fromm-Reichmann cuba mencipta cara khusus bagi menyelesaikan masalah pesakit skizofrenia tetapi kurang berjaya bahkan mendapat kritikan. Ini kerana kajian psikoanalisa dan psikodinamik yang dijalankan tidak dapat membuktikan pesakit dapat diubati.

Kaedah psikodinamik menekankan pesakit yang menghadapi masalah dalam membebaskan diri mereka daripada kekecewaan-kekecewaan yang dialami sejak dahulu. Antaran kekecewaan yang dialami ini adalah hasil daripada salah interaksi antara struktur id, ego dan superego. Ini semua akan menimbulkan kebimbangan yang sukar dikesan. Oleh itu dalam sesi terapi ini, teknik perkaitan bebas (free association) digunakan di mana pesakit diminta mengeluarkan segala yang terpendam dalam fikiran, perasaan dan hatinya. 

Mereka tidak dibenarkan menyekat atau menahan apa-apa perasaan, fikiran, rasa hati, masalah atau fantasi ataupun yang tidak munasabah daripada pakar terapi. Tujuannya supaya semua konflik yang dialami secara sedar atau tidak sedar dibawa keluar ke alam sedar dan dikenali serta difahami oleh pesakit. Kini kaedah terapi individu banyak digunakan dan terbukti dapat mengurangkan gangguan dan membantu pesakit membina kemahiran sosial seperti bagaimana hendak berhadapan dengan kritikan orang lain (Azizi Yahaya et.al 2006: 199 ) 

Kaedah ini telah digunakan dalam filem A Beautiful Mind yang mana Alicia memberikan bukti yang kukuh kepada suaminya John Nash bahawa apa yang dialami adalah tidak benar sebagai contoh Alicia menyiasat sendiri dengan pergi ke whsel dan mengambil semula surat-surat yang ditulis oleh John Nash kepada organisasi gelap dan membuktikan bahawa surat tersebut tidak pernah dibaca. Ketika di hospital Nash telah meluahkan masalahnya kepada Alicia dan Alicia telah membuktikan kepadanya bahawa apa yang dialami selama ini adalah tidak benar walaupun pada hakikatnya Nash tidak mempercayainya. Seterusnya John Nash masih perlukan perhatian dan tidak boleh membiarkan beliau keseorangan seperti Alicia tidak membenarkan anaknya dimandikan oleh John Nash kerana tahu bahaya yang akan menimpa namun John Nash tetap melakukanya dan akhirnya Dr. Rosen memberikan nasihat dan kaunseling kepada Johm Nash akibat daripada peristiwa itu.


Rawatan Sosiobudaya



Dalam kaedah ini peranan yang penting dimainkan oleh kumpulan etnik masyarakat bagi membantu keluarga yang mengalami skizofrenia. Ini kerana keadaan pesakit skizofrenia berbeza-beza di setiap tempat sama ada di Asia mahupun Eropah. Oleh itu, kaedah rawatan ini lebih menekankan nilai moral dalam masyarakat seperti keluarga memberikan sokongan yang sewajarnya kepada pesakit ini dan menyediakan tempat kerja yang sesuai bagi mengembalikan hubungan pesakit dengan komuniti masyarakat. Secara tidak langsung dapat mengendurkan emosi pesakit dan penerimaan pesakit terhadap masyarakat. Kaedah ini sukar dilaksanakan memandangkan masyarakat selalunya mempunyai pandangan yang negatif pada pesakit psikotik dan kurang memberikan sokongan kepadanya untuk sembuh.



       

Menurut Rohana Saidin (2011), pengasas Rumah Titian Ashraful Rohaniah di dalam satu Forum Memahami Skizofrenia: Menyangkal Prejudis dan Stigma Sosial di Universiti Kebangsaan Malaysia,  di Malaysia paling menyedihkan apabila keluarga sendiri yang membuang dan menyisihkan pesakit-pesakit skizofrenia ini. Sikap tidak ambil peduli masyarakat terhadap penghidap skizofrenia dan memandang rendah kepada mereka menyebabkan pesakit sukar untuk pulih. (sumber:  Kosmo 14 November 2011).

       



Menurut Nevid, et al. (2000) anggota keluarga mampu untuk memainkan peranan yang paling berkesan sebagai kumpulan sokongan. Konsep penerimaan sepenuhnya daripada anggota keluarga sendiri mampu untuk memulihkan kecelaruan kecelaruan yang dihidap oleh pesakit. 


Sebagai contoh  dari filem “Beautiful Mind” ialah kerjasama dari masyarakat seperti kawannya yang membenarkan dia belajar semula di Princeton university.  Masyarakat seumpama beberapa orang pelajar dari Universiti tersebut menegurnya dan mula mempelajari ilmu dan bergaul dengannya. Justeru itu, pemerhatian dan pemantauan daripada isterinya Alicia. Yang telah banyak membantu John Nash bersama-sama mengharungi kehidupan tidak kira di waktu senang atau susah Kepercayaan dari orang sekeliling seperti Alicia percaya yang suaminya bercakap dengan pengutip sampah bukan dengan meraguinya.

*komuniti*
Rawatan pemulihan


Rawatan secara program pemulihan merangkumi pelbagai kaedah tanpa melibatkan komponen perubatan. Contohnya, program yang mengkhususkan objektifnya untuk meningkatkan kemahiran sosial dan kemahiran vokasional. Penerapan kemahiran seumpama ini berupaya untuk memberikan impak pemulihan yang positif kepada pesakit. Menurut Selingman dan Rosenhan (2001), penerapan kemahiran seumpama ini penting kerana pada kebiasaannya pesakit skizofrenia menghadapi kesukaran untuk melaksanakan kemahiran asas kehidupan biarpun kemahiran merupakan perkara yang mudah bagi seseorang yang normal.

Kaitan kaedah ini dalam filem tersebut ialah yang mana Dr. Rosen banyak membantu Alicia dalam menanggani penyakit yang dihidapi oleh John Nash. Namun begitu, pernah berlaku sedikit konflik yang mana John Nash ingin membunuh anaknya sendiri dan setelah itu menolak Alicia semasa Alicia cuba untuk menelefon pihak hospital disebabkan hasutan oleh Pacher. Sokongan moral daripada isterinya adalah salah satu faktor Nash berjaya mengawal penyakitnya. Kekuatan dalaman pesakit itu sendiri seperti Nash tidak melayan khayalannya itu. Keadaan penyakit skizofrenia ini memerlukan masa yang panjang untuk mengubatinya oleh yang demikian, kemahiran (melihat, mendengar) dan teknik perubatan yang betul akan mampu mempercepatkan proses tersebut.

Kaedah Biologi


Kaedah ini merujuk kepada pengambilan ubat antipsikotik iaitu dadah seperti thorazine, melaril, stelazine dan prolixin yang pada umumnya menghasilkan kesan yang sama. Ubat ini akan mengurangkan aktiviti reseptor dopamin otak yang akan dapat mengurangkan halusinasi dan delusi pesakit tetapi tidak dapat menyembuhkan penyakit ini. Menurut Mueser dan Gingerich (1995), rawatan dan ubat-ubatan untuk kecelaruan skizofrenia bermula pada tahun 1950 apabila ubatnya ditemui secara tidak sengaja semasa ahli sains membuat kajian tentang hipertekanan yang melibatkan tekanan darah tinggi. Pada masa itu, thorazine telah digunakan untuk uji kaji kepada haiwan tetapi menghasilkan keputusan yang negatif. Thorazine turut diuji kepada pesakit skizofrenia dan menghasilkan keputusan positif yang begitu memberangsangkan. Manakala menurut Azizi Yahya dalam bukunya Punca dan Rawatan Kecelaruan menjelang tahun 2000 terdapat lebih banyak ubat antipsikotik yang dihasilkan seperti clozapine, risperidone dan olanzapine tetapi tetap mempunyai kesan yang sama iaitu hanya mencegah pesakit  daripada mengalami gangguan yang lebih teruk dan mengurangkan tekanan yang dialami serta mengurangkan episod psikotik pesakit (Azizi Yahaya et. al 2006: 198).




Dalam filem A Beautiful Mind, Dr Rosen memberitahu Alicia bahawa Nash mempunyai skizofrenia. Rawatan intensif di rumah sakit jiwa Dr.Rosen dan mengambil ubat dengan cara terkawal beliau  diberi ubat antipsikotik namun beliau kecewa dengan kesan-kesan sampingan ubat antipsikotik yang beliau ambil, maka Nash secara diam-diam berhenti mengambilnya. Ini menyebabkan halusinasi dan khayalan beliau kembali semula.


Kasih Sayang melalui keluarga


Kaedah rawatan ini merupakan rawatan yang paling mudah untuk diberikan namun, segelintir daripada kita memandang remeh mengenai hal ini. Peranan ahli keluarga dalam menangani masalah pesakit dengan berkongsi masalah dengan pesakit, memberi tumpuan kepada aktiviti kehidupan harian keluarga dan memberikan pendidikan kepada ahli keluarga yang memiliki masalah tersebut dan cuba untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dan kaedah ini kebanyakkannya berjaya. (Azizi Yahaya et. Al 2006: 200-201)

Melalui filem tersebut kita dapati bahawa isterinya Alicia memberikan contoh isteri yang baik bagi masyarakat amnya. Beliau merupakan seorang wanita yang sabar, cekal dan tabah  dalam menghadapi setiap situasi dan masalah suaminya. Kehidupan yang dilalui penuh dengan ranjau duri dengan keadaan suaminya yang dikatakan orang ramai “sakit mental” namun tanggapan yang diberikan masyarakat tidak menghalang beliau untuk senantiasa berada disisi suaminya dengan memberikan sokongan moral dan kasih sayang sepenuhnya kepada orang yang dicintainya. Akhirnya beliau berbangga dengan suamninya John Nash walaupun tidak mampu mengahalangi halusinasi yang berlaku dalam dirinya namun mampu untuk mengawal keadaan penyakitnya dan mencapai cita-citanya menjadi ahli matematik yang berjaya sehingga mendapat hadiah Nobel.

*pengorbanan seorang Isteri*

*NILAI kekeluargaan amat Penting..*


KESIMPULAN




Penyakit ataupun kecelaruan skizofrenia merupakan gangguan kesihatan mental atau lebih disebut ramai sebagai penyakit jiwa yang serius. Ini kerana pesakit berada ddalam keadaan alam sedar dan khayalan. Ubat untuk menyembuhkan penyakit ini juga masih belum ditemui sehingga sekarang meskipun penemuan bagi rawatan dan ubat-ubatan untuk penyakit skizofrenia ini telah bermula pada tahun 1950 lagi. Kaedah rawatan dan ubat-ubatan ini hanyalah bersifat meredakan ketegangan pesakit. Walau bagaimanapun, jumlah pesakit yang berjaya disembuhkan amat sedikit disebabkan mereka mengalami gangguan mental yang amat serius. Namun begitu terdapat juga pesakit skizofrenia yang berjaya pulih sepenuhnya dengan gabungan rawatan dan ubat-ubatan yang diperolehi. Siapa sangka pemenang hadiah Nobel, John Nash dari Amerika Syarikat (AS) yang juga seorang individu genius dalam bidang matematik merupakan penghidap skizofrenia selama tiga dekad. Namun, selepas tiga dekad berjuang melawan penyakit tersebut, Nash akhirnya berjaya pulih seperti sediakala dan menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa. Walaubagaimanapun pemupukan kasih sayang dan sikap tidak meminggirkan mereka adalah faktor dan kaedah rawatan yang paling berkesan yang dapat dibuktikan melalui gambaran filem tersebut. Malah sokongan dari semua pihak masyarakat amnya amat diperlukan agar statistik pesakit yang ada mampu dikurangkan.














RUJUKAN :

I.M.Ingram, G.C.Timbury, R.M Mowbray. Notes On Psychiatry. 1995. Terj: Petrus Andrianto.    Jakarta: Penerbit Buku Kedoktoran EGC.
Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad dan Sharifuddin Ismai. 2006.Kecelaruan tingkah laku. PTS Professional Publishing. Kuala Lumpur.
Azizi Yahaya dan Tan Soo Yin. 2007. Kesihatan Mental. Universiti Teknologi Malaysia. Johor.
Barlow, D.H. & Durand, V.M. (2002). Abnormal psychology – An integrative approach. U.S.A.: Wadsworth Group
Hawari Dadang. (2003). Pendekatan Holistik Pada Gangguan Jiwa (Skizofrenia).Edisi Kedua. Fakulti Kedokteran. Jakarta, Indonesia.
Mueser, K.T. dan Gingerich. S. 1995. Coping With Schizophrenia. Oakland, California. New Harbinger Publications, Inc.
Nevide, J.S., Rathus, S.A dan Greene, B. 2000. Abnormal Psychology, Fourth Edition. New Jersey. Prentice Hall.
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah.Kasih sayang pulihkan skizofreniahttp://www.utusan.com.my (25/04/2010).
Selingman, E.P. dan Rosenhan, D.L. 2001. Abnormal Psychology. USA. W.W. Norton & Company, Inc.