Wednesday, April 3, 2013

~Ceritera Hidup Ulama Islam ke 2~ (FALSAFAH MINDA)

   
 ~Doktor Pakar Falsafah dan Novelis~


Ibnu Thufayl 





 Bermula kisah hidupnya....


      Dunia Islam kini telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat tetapi falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan Barat berbanding ahli falsafah Islam. Beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi dan Ibnu Sina mendapat pengiktirafan Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat sewajarnya berbanding ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle. Ini mungkin disebabkan kajian mengenai mereka masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan sementara karya besar hasil tulisan sarjana serta ilmuan Islam belum diterjemahkan. Ibnu Thufayl hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah dengan sebab itulah beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibn Bajjah, Al Farabi dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain. namun begitu tidak kesemuanya diterima secara keseluruhan melainkan selepas dibahaskan secara kritis disamping beliau juga seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan dalam kehidupan mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.


Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibnu Thufayl atau nama sebenarnya Abu Bakar Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad Ibn Thufayl al-Qisi yang lahir pada 1106 M di Kota Wadi Ash (Guadix) sebuah kota yang subur di Granada Sepanyol. beliau telah diberi gelaran " Andalusi" dan " al-Qurthubi". Ibnu Thufayl dikenali sebagai ahli falsafah, perubatan dan ahli politik yang handal dan ketika pemerintahan al- Mu'min Ibn Ali beliau dilantik sebagai pembantu Gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Magribi. Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin ketika itu Sultan Abu Ya'kub (558-580 H/ 1163-1184 M) dan ketika hayatnya , Ibnu Thufayl pernah dilantik sebagi menteri selain dikenali sebagai ahli politik yang dihormati oleh pemerintah. (Muhammad Hanafis: 2010)


Selain itu beliau juga terlibat dalam bidang pendidikan, pengadilan dan penulisan. Antara karya-karyanya Asrar al-hikmah al-Mashiqiyyah, Fi al-Buqa' al Maskunah wal Ghair Al Maskunah, risalah Hayy Ibn Yaqzan. Walaupun Karya yang dihasilkan Ibnu Thufayl diketahui tidak banyak jumlahnya namun risalah Hayy Ibn Yaqzan merupakan sebuah novel falsafah yang terkenal merupakan salah satu diantara buku-buku yang paling cemerlang pada abad-abad pertengahan. Dalam risalah tersebut beliau berusaha memuatkan pandangannya secara umum dengan gaya bahasa menarik dan imaginasi indah. Risalah itu dianggap sebagai warisan yang paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam. Judul yang serupa turut ditulis oleh Ibnu Sina dan al Suhrawardi. ( Amroeni Drajat :2005) 


Menerusi risalahya itu, Ibnu Thufayl berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya. Justeru itu, beliau cuba untuk membuktikan kebenaran  kesatuan kebijaksanaan rasional dan mistik melalui kisah fiksyen. Melalui kisah ini beliau ingin memberikan penyelesaian terhadap permasalahan yang ditimbulkan oleh pertentangan antara falsafah dan agama, akal dan iman. Oleh yang demikian, beliau cuba untuk menemukan dua metod pemikiran yang saling berlawanan iaitu pemikiran falsafah yang didasari dengan akal fikiran dan metod pemikiran tasawuf dengan cara ini beliau menyatakan bahawa kita mencapai kepada kebenaran yang sejati (M. Hadi Masruri: 2005)



Di dalam buku Hay ibn Yaqzan, Ibn Thufayl cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia serta berusaha mengungkap persoalan hubungan antara manusia, akal dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hay ibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering dan basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera. Langkah Ibnu Thufayl menggunakan analog watak itu dalam bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah. Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibnu Thufayl mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya.


Seterusnya, Ibnu Thufayl melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh sementara dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini.Falsafah Ibnu Thufayl bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabi'i seperti fizik di mana beliau mendapati lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara. Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini, pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya.


Secara Ringkas Kisah Hidup Hayy Ibn Yaqzan



" Hayy  merujuk kepada nama seorang kanak-kanak.  Hayy adalah kanak-kanak yang dilahirkan tanpa mengenali ibu bapa disebuah pulau dikepulauan Hindi berdekatan dengan garisan Khatulistiwa (beriklim kahtulistiwa) Tetapi telah hadir seekor kijang / rusa yang menyusu dan memberinya makan sehinggalah kijang tersebut meninggal ketika beliau berusia 7 tahun. Setelah itu, beliau telah hidup sepertimana apa yang dilihat disekelilingnya dan menjalani kehidupan haiwannya, namun berdepan dengan kenyataan bahawa kulitnya tidak sama dengan haiwan dan dia belajar memenuhi keperluan hidupnya sendiri.



Beliau berusaha untuk mengetahui tentang kematian kijang tersebut dengan membelahnya dan melihat apa yang ada disebaliknya. Setelah itu, beliau mendapati bahawa ada sesuatu yang kosong didalam organ jantung disebelah kiri tersebut. Beliau merenung sumber, tempat, cara hilangnya dan bagaimana perkara tersebut berlaku. Beliau berfikir tubuh tersebut sama dengan semua kijang dan juga ibu kijangnya. justeru itu beliau mengatakan kematian itu hanyalah semata-mata akibat retaknya persatuan jiwa dan tubuh. Kecerdasan Hayy yang luar biasa menemukan bahawa ada suatu yang sama yang mengatur kematian ibunya. Beliau mula membahaskan tentang kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alam ini terdapat sebab-sebab yang tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya. Hayy bin Yaqzan selalu membahas dan menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu berfikir dan mengetahui bahawa kebahagiaan dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan Allah."



Setelah penemuan tentang kehidupan, beliau telah menemui Api.  Beliau telah mengkaji bagaimana ia berlaku dan mengaitkan dengan kehidupan sekelilingnya. Beliau melihat semua benda bergerak kebawah namun api tersebut telah bergerak keatas , hal ini menimbulkan keadaan yang berbeza . Oleh itu, beliau telah mengkaji bahagian lain selain alam , antaranya organ binatang susunannya, ukuran, jumlah kedudukannya serta persamaan diantara tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang pegun. Setelah itu, beliau telah menemui konsep-konsep umum berkaitan dengan bumi dan langit. Akhirnya beliau telah menyatakan bahawa alam semesta adalah satu dan adakah alam semesta ini diciptakan atau abadi.


Setelah penemuan tentang kehidupan, beliau telah menemui Api.  Beliau telah mengkaji bagaimana ia berlaku dan mengaitkan dengan kehidupan sekelilingnya. Beliau melihat semua benda bergerak kebawah namun api tersebut telah bergerak keatas , hal ini menimbulkan keadaan yang berbeza . Oleh itu, beliau telah mengkaji bahagian lain selain alam , antaranya organ binatang susunannya, ukuran, jumlah kedudukannya serta persamaan diantara tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang pegun. Setelah itu, beliau telah menemui konsep-konsep umum berkaitan dengan bumi dan langit. Akhirnya beliau telah menyatakan bahawa alam semesta adalah satu dan adakah alam semesta ini diciptakan atau abadi.


Meskipun beliau tidak dapat memutuskan secara rasional apakah alam semesta diciptakan atau abadi, beliau berkesimpulan bahawa pasti ada suatu sebab yang tetap bergantung dan sesungguhnya penyebab ini " necessary being" bersifat non fizik dan hakikatnya diatas itu, bahkan jika tidak pada waktunya tidak pada waktunya. Justeru itu, tidak ada penglihatan, pendengaran atau percakapan manusia yang dapat memahami keadaa ini kerana itu  ia terletak diluar dunia dan pengalaman akal.


Setelah itu,  Telah bertemu dengan Absal (Tokoh Sufi). Mereka saling menceritakan pengalaman spritual masing-masing. pada mulanya Hayy tidak dapat berkomunikasi dengannya kerana beliau tidak memahami bahasa manusia . Absal kemudian mengajarnya.  Absal menceritakan pengalaman kehidupannya dan juga pengetahuan yang diperolehi melalui wahyu sementara Hayy pula berkongsi pengalaman hidupnya dan perihal pengetahuan sejati (metafizik) yang diperolehi melalui akal rasional (An Nazhar al-Aqli) serta ketajaman intuisi (al quwwah al-hads). 


Atas ajakan Hayy , Absal bersetuju untuk membawa Hayy ke pulau tempat tinggal beliau supaya Hayy dapat memberitahu pengalamnnya memperolehi makrifah hakiki kepada masyarakat pulau tersebut. Pulau itu diperintah oleh seorang raja bernama Salman iaitu sahabat Absal sendiri. Salman menerima ajaran agama melalui ajaran nabi iaitu wahyu dan beliau lebih tertarik kepada erti zahir nas. Beliau menyukai hidup bermasyarakat dan melarang kehidupan beru'zlah.


Setelah itu, Hayy menceritakan ilmu makrifah hakiki yang dialami olehnya, penduduk pulau itu menerima Hayy dengan baik namun setelah Hayy menjelaskan pemikiran falsafahnya mereka mencemuh beliau. Hayy mendapat pengajaran bahawa orang awam tidak memahami dan tidak mampu menerima makrifat sejati. Akhirnya kedua-dua ini kembali ke dunia masing-masing, Absal meneruskan uzlahnya  sbagai sufi sementara Hayy meneruskan perjalanan dalam mencari kebenaran sejatinya sehingga beliau menemuinya. (M. Hadi Masruri: 2005)

Kesannya dari Kisah tersebut...


JIWA"- menurut Ibnu Thufayl jiwa manusia adalah makhluk yang tertinggi martabatnya. Manusia terdiri daripada 2 unsur iaitu JASAD dan ROH . Jasad tersusun dari dua unsur sedangkan jiwa tidak tersusun. Jiwa bukan jisim dan bukan pula suatu daya yang ada didalam jisim. Setelah jasad hancur atau mati jiwa terlepas dari jasad. Menurut Ibnu Thufayl, jiwa terdiri daripada tuga peringkat:

1) JIWA YANG RENDAH -jiwa tumbuhan (al-nafs al nabat)
2) JIWA YANG LEBIH TINGGI - jiwa haiwan (al-nafs al-hayawaniyyat)
3) JIWA YANG TINGGI DARJATNYA- jiwa manusia (al-nafs al-natiqat)

Keabadian jiwa manusia ada hubungannya dengan Allah, dan ia terbahagi kepada 3 peringkat :

1) Jiwa yang sebelum mengalami kematian jasad dan telah mengenal Allah dan mengagumi serta   
ingat kepada-Nya, maka jiwa seperti ini akan kekal dalam kebahgiaan.
2) Jiwa yang telah mengenal Allah tetapi melakukan maksiat dan melupakan Allah. Jiwa seperti ini akan kekal dalam kesengsaraan
3) Jiwa yang tidak pernah mengenal Allah selama hidupnya jiwa ini berakhir seperti haiwan

EPISTEMOLOGI- Ibnu Thufayl menjelaskan bahawa makrifat bermula daripada pancaindera. Ia diperoleh melalui pengamatan dan pengalaman dan pengetahuan inderawi. jiwa yang telah mendapat makrifat akan menjadi sedar sepenuhnya dan mengalami apa yang tidak pernah dilihat oleh mata didengar oleh telinga dan dirasai hati. Beliau menyatakan bahawa perhubungan dengan Allah melalui pemikiran akal yang murni hanya dapat dilakukan oleh orang-orang khusus (ahli makrifat) dan tidak bagi orang awam. 

firgur :
HAYY melambangkan akal yang dapat berkomunikasi dengan Tuhan, 

ABSAL melambangkan bagi wahyu dalam bentuk dalaman (kerohanian), 

SALMAN- melambangkan wahyu dalam bentuk luaran yang membawa kebenaran 

Wan Fariza Alyati Wan Ibrahim

Selain itu, pemikiran falsafah Ibnu Thufayl juga meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat apabila beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu membahaskannya. Ibnu Thufayl seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia. Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1185 Masihi di Marakesh. di Magribi dan Sultan sendiri menyempatkan diri menghadiri upacara pemakamannya.


Kesimpulannya, Ibnu Thufayl merupakan seorang tokoh ilmuan dan falsafah Islam yang terkenal. Beliau telah menjelaskan dan membuktikan bahawa manusia mampu berfikir dengan menggunakan akal. Melalui kisah-kisah yang disampaikan ia juga membawa manusia mengenal pencipta dan alam semesta yang ada serta memahami konsep-konsep yang terbentuk dalam kehidupan ini. Menurut Muhammad Yusuf Musa dalam karyanya "Bain ad Din wa al-Falsafah fi Ra'y Ibn Rusyd  wa al-Falasifah al Ashr Al Wasith" terbuktilah melalui perenungan dan pengamatan yang mendalam terhadap alam semesta mampu mencapai hakikat yang sebenar bahkan ia telah sampai kepada pengetahuan tentang Tuhan sebagai penyebab pertama dimana pengetahuan tersebut sesuai dengan pekembangan agama. ~Sekian... 



Rujukan: 

M.Hadi Masruri. Ibnu Thufail Jalan Mencari Pencerahan. 2005. Yogjakarta:  PT LKiS Pelangi

Muhammad Hanfi  S. Ilmuan Islam. 2010. Kuala Lumpur: Seribu Dinar Sdn Bhd.

Amroeni Drajat. Suhrawadi Kritik Falsafah Peripatetik.2005. Yogjakarta: LKiS  Yogjakarta.

Sunday, March 31, 2013

~mampu menahan marah dan pemaaf sifat terpuji~

~Renungan Bersama~




Daripada Sulaiman bin Sard, katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi Muhammad SAW, dua orang lelaki sedang bermaki-makian antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia berkata (baca), “aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam”, hilanglah marahnya. Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Sifat marah disemarakkan syaitan 


Perasaan marah yang disemarakkan oleh syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia, kerana itu untuk menghapuskan sebabnya (was-was syaitan) ialah dengan memohon perlindungan 

kepada Allah SWT. 


Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200) 

Seseorang yang dalam keadaan marah hendaklah membaca taawuz (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) untuk mendapatkan kesabaran. 

Orang yang alim (berilmu) hendaklah sentiasa menyampaikan (menyebarkan) ilmunya tidak kira masa dan tempat asalkan ilmu itu dapat dimanfaatkan (dinikmati). Meleraikan persengketaan yang berlaku antara dua pihak adalah dituntut oleh Islam. 

Sabar, tahan marah sifat terpuji 
Daripada Muaz bin Anas, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu bertindak menurut perasaan marahnya maka Allah akan menyerunya di hari kiamat di hadapan khalayak ramai (sebagai suatu penghormatan) sehingga Allah memberi pilihan kepadanya bidadari yang dia suka.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi) 

Allah SWT memuliakan orang yang sabar menahan marah. Menahan marah adalah sifat yang baik dan dipuji. Menahan marah dan memberi kemaafan dijanjikan ganjaran yang besar di sisi Allah. 

Kekuatan jiwa dan peribadi seseorang akan terserlah dalam situasi-situasi yang mencemaskan dan boleh menimbulkan kemarahan, iaitu dengan menguasai diri dan menahan marah. Antara ganjaran Allah di akhirat terhadap hambanya yang bersifat sabar ialah bidadari syurga.

cc : jakim

Saturday, March 23, 2013

~Tarbiah Nafs~Pengalaman Hidup


Kata-kata Seorang Wanita:

Kalau Allah Itu Maha Baik , Kenapa Buat Neraka?





Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Meayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama.
Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.
Saya tidak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan.
Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.
Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di  sebuah pasaraya  telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.
Maka dia pun kena denda.
Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, “lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan.
Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga.
Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.
Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka.”
Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak “Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka?
Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?” Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah  la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.
Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.
Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: “Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz.
Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.
Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.
Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur.
Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?”
Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:
“Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga.
Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan ‘lulus’ percuma.
Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga.
Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu ‘baik’.
Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?” Tanya ustaz.
“Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je.” Rungut si gadis.
Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: “Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?”
Gadis tu terdiam.
Ustaz mengakhiri kata-katanya:
“Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil.
Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.
Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni.
Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita.
Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian.
Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga.”
cc: iluve islam

Thursday, March 21, 2013

~Renungan Bersama...~

Apa Masalah Sebenarnya??..salahkan Takdir...




Sebagai hamba Allah kita haruslah senantiasa berusaha sebaik mungkin untuk menjadi hamba yang diredhai Nya..ujian 2x..ia tidak dapat dihindarkan..malah ia seringkali dekat dengan kita..kadang2 terdengar orang mengatakan bahawa ia adalah penebus dosa silam.. adakah betul semua pandangan ini?..mungkin ia mungkin tidak ..tidak pelik seandainya kita ditimpa masalah hal ini kerana setiap daripada makhluk ciptaanNya..senntiasa diuji..apa yang difahami ujian itu adalah salah satu daripada fitrah kehidupan malah ia juga tanda kasih sayang Allah kepada HambaNya..teruji seseorang maka lebih dekatlah ia denganNya..seorang yang Beriman snntiasa mencari jalan penyelesaian dan bermuhasabah atas apa yang terjadi , namun sebaliknya bagi orang yang hanya mampu menyalahkan takdir..klu difkirkan ia merugikan dirinya sendiri..hakikatNya kita sebagai makhluk ciptaanNya haruslah snntiasa bersabar dlam mengahadpi segala ujian dariNya..tenangkan jiwa damaikan hati..postifkan diri agar kekuatan itu mengiringi kita dalam menyelami erti kehidupan sebenar...

Wednesday, March 20, 2013

Ceritera Ulama Islam


 Kisah Hidup Ulama Sufi  Islam

IMAM AL-GHAZALI



Abu Hamid Ibnu Muhammad al-Tusi al-Ghazali itulah tokoh yang dilahirkan di Tus, Parsi pada tahun 450 Hijrah. Sejak kecil lagi, beliau telah menunjukkan keupayaan yang luar biasa dengan menguasai berbagai-bagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan sahaja produktif dari segi menghasilkan buku dan karya tetapi merupakan seorang ahli fikir Islam yang terulung.

Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga mendorongnya menggembara dan merantau dari sebuah tempat ke tempat yang lain untuk berguru dengan ulama-ulama yang hidup pada zamannya. Sewaktu berada di Baghdad, Al-Ghazali telah dilantik sebagai Mahaguru Universiti Baghdad.

Walaupun telah bergelar mahaguru tetapi beliau masih merasakan kekurangan pada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke Makkah sambil berguru dengan ahli-ahli sufi yang terkenal disana

Selain belajar dan mengkaji,. Al-Ghazali juga banyak menulis. Dianggarkan beliau telah menulis 300 buah buku mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran, falsafah, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya telah hangus dibbakar oleh tentera Moghul yan menyerang kota Baghdad.

Antara kitab yang musnah termasuk: 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia), dan al Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Dari Orang'orang Yang Bukan Ahlinya,). Cuma 84 buah buku tulisan beliau yang berjaya diselamatkan seperti Al Munqiz Mm al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan), Mahkun Nazar fMengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah).

Meskipun Al-Ghazali banyak menulis mengenai falsafah tetapi beliau tidak dianggap sebagai seorang ahli falsafah. Malah kebanyakan penulis menggolongkan Al-Ghazali sebagai seorang yang memerangi dan bersikap antifalsafah. Pandangan ini berdasarkan tulisan Al-Ghazali dalam buku Tahafut Falsafah yang banyak mengkritik dan mengecam falsafah. Bahkan dalam buku tersebut, Al-Ghazali menyatakan tujuan menyusun buku itu adalah untuk menghancurkan falsafah dan menggugat keyakinan orang terhadap falsafah. Namun begitu, pandangan bahawa Al-Ghazali seorang yang antifalsafah tidak dipersetujui oleh beberapa orang sarjana.

Biarpun tidak ada seorang pun yang boleh menafikan kecaman Al-Ghazali terhadap falsafah seperti yang ditulis dalam buku Tahafut Falsafah itu tetapi perlu diingat- kan bahawa sikap skeptis (ragu) dan kritikannya terhadap falsafah merupakan sebahagian proses ilmu falsafah itu sendiri. Hal ini kerana tugas ahli falsafah bukan semata-mata untuk mencari kebenaran dan penyelesaian terhadap sesuatu masalah tetapi juga mencabar serta membantah penyelesaian yang dikemukakan terhadap permasalahan tersebut.

Kalau menyelusuri perjalanan hidup Al-Ghazali maka akan didapati bahawa beliau merupakan ilmuwan Islam pertama yang mendalami falsafah dan kemudian mengambil sikap mengkritiknya. Walaupun Al-Ghazali kurang senang dengan falsafah dan ahli filsafat tetapi dalam buku Maqasid al Falasifah., beliau telah mengemukakan kaedah falsafah untuk menghuraikan persoalan yang berkaitan dengan logik, ketuhanan, dan fizikal.

Menurut Al-Ghazali, falsafah boleh dibahagikan kepada enam ilmu pengetahuan ialah matematik, logik, fizik, metafizik, politik, dan etika. Bidang-bidang ini kadangkala selari dengan , agama dan kadangkala pula sangat berlawanan dengan agama.

Namun begitu, agama Islam tidak menghalang umatnya daripada mempelajari ilmu pengetahuan tersebut sekiranya mendatangkan kebaikan serta tidak menimbulkan kemudaratannya. Umpamanya agama tidak melarang ilmu matematik kerana ilmu itu merupakan hasil pembuktian fikiran yang tidak boleh dinafikan selepas ia difahami.

Cuma bagi Al-Ghazali, ilmu tersebut boleh menimbulkan beberapa persoalan yang berat. Antaranya ialah ilmu matematik terlalu mementingkan logik sehingga boleh menyebabkan timbul persoalan yang berkaitan dengan ketuhanan khususnya mengenai perkara yang tidak dapat dihuraikan oleh akal fikiran. Menurut Al-Ghazali tidak salah berpegang kepada logik tetapi yang menjadi masalahnya ialah golongan falsafah yang terlalu berpegang kepada logik, hendaklah membuktikan fakta termasuk perkara yang berhubung dengan ketuhanan atau metafizik.

Sebab itulah beliau menentang golongan ahli falsafah Islam yang cuba mengungkap kejadian alam dan persoalan ketuhanan menggunakan pemikiran daripada ahli falsafah Yunani. Beberapa orang ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi jelas terpengaruh akan idea pemikiran falsafah Aristotle. Maka tidak hairanlah ada antara pandangan ahli falsafah itu bertentangan dengan ajaran Islam yang boleh menyebabkan kesesatan dan syirik.

Terdapat tiga pemikiran falsafah metafizik yang menurut Al-Ghazali amat bertentangan dengan Islam iaitu qadimnya alam ini, tidak mengetahui Tuhan terhadap perkara dan peristiwa yang kecil, dan pengingkaran terhadap kebangkitan jasad atau jasmani.

Al-Ghazali tidak menolak penggunaan akal dalam pembicaraan falsafah dan penghasilan ilmu pengetahuan yang lain. Sebaliknya beliau berpendapatan bahawa ilmu kalam dan penyelidikan menggunakan fikiran boleh menambahkan keyakinan dan menyalakan apt keimanan pada hati orang bukan Islam terhadap kebenaran ajaran Islam. Jadi, perkembangan sesuatu ilmu pengetahuan bukan sahaja bersandarkan kepuasan akal fikiran tetapi juga perlu mengambil kira aspek perasaan dan hati nurani. 

Al-Ghazali menganjurkan supaya umat Islam mencari kebenaran dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber yang utama bukannya melalui proses pemikiran dan akal semata-mata. Jadi, apa yang cuba dilakukan oleh Al-Ghazali ialah memaparkan kesalahan dan kepalsuan bidang pengetahuan yang bercanggah dengan agama serta bertentangan dengan pendirian umat Islam. 

Sekali gus menunjukkan bahawa Al-Ghazali sebenarnya merupakan seorang ahli falsafah Islam yang mencari kebenaran dengan berpandukan al-Quran dan hadis tidak sebagaimana pemikiran serta permainan logik yang lazim digunakan ahli falsafah Yunani. Perkara yang ditentang oleh Al-Ghazali bukan ahli falsafah dan pemikiran yang dibawakan oleh mereka tetapi kesalahan, kesilapan, dan kesesatan yang dilakukan oleh golongan tersebut. Pada Al-Ghazali, tunjang kepada pemikiran falsafah ialah al-Quran itu sendiri.

Tuesday, March 19, 2013

~tautan hatiku ~


Ikhlas..


Kita semua maklum bahawa keikhlasan itu menjadi pra-syarat untuk apa-apa amalan kita diterima oleh Allah swt. Kerana kita inginkan amalan kitalah yang bakal menjelma sebagai makhluk yang indah bila kita di dalam alam barzakh nanti, kita berharap agar amalan kitalah yang dapat membela kita pada hari pembalasan kelak.
Sudah tentu, niat pada permulaan kita membuat sesuatu, hinggalah ke akhirnya perlulah hanya kerana Allah semata-mata. Tidak kira amalan itu menyentuh perkara peribadi mahupun dalam kehidupan berdakwah. Namun, ibarat kita hendak mengenal samada kita sudah terkena penyakit ‘chicken pox’ dsbnya, ada tanda-tanda yang dapat menolong kita memastikan adakah benar kita ini ikhlas.

Antaranya :-
1.   Kita takutkan sanjungan dan pujian manusia.
2.   Kita tidak berasa hati apabila usaha kita dikritik oleh manusia.
3.   Kita tidak berasa bangga bila dipuji.
4.   Kita sentiasa menganggap diri cuai dalam ibadah akibat sikap taajub akan diri sendiri.
5.   Tidak malas, lembab dan ketinggalan dalam kesusahan.
6.   Tidak jemu dalam berusaha mengajak orang kepada Islam.
7.   Tidak menjauhkan diri dari jemaah walau dicaci manusia.
8.   Di dalam organisasi/jemaah, tidak teringin menjadi ketua tetapi tetap bekerja dan menyumbang.
9.   Menjadi pemimpin atau pengikut, mana satu tidak menjadi hal.
10.  Tidak marah malah gembira, bila muncul seorang yang baru menjadi ketua (namun bukan bermaksud tanggungjawabnya sendiri berkurang, kerana amanah bukan dari manusia tetapi dari Allah)

Begitulah antara perkara-perkara yang perlu kita perhatikan. Ini hanyalah panduan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan amalan diri kita sendiri bersih dari sifat ria’, taajub, takabbur dan seumpamanya.  Pekerjaan yang zahirnya baik, tetapi jika diselimuti oleh segala sifat yang batil tersebut, maka sia-sialah di sisi Allah swt. Hatta mereka yang berperang di saff hadapan dan mati di medan peperangan.
Walaubagaimanapun, atas kelemahan manusia, tidak layak sebenarnya untuk menilai atau menghukum orang lain ikhlas ataupun tidak. Kita hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Allah swt yang Maha Mengetahui dan hanya Allah swt sahajalah yang berhak membalas segala amalan. Samada amalan yang baik atau sebaliknya. Sama-samalah kita berdoa: Wahai Tuhan kami!  Perbaikilah hati kami, hapuskanlah cacat cela kami, pimpinlah kami ke arah kebaikan, hiasilah kami dengan taqwa, kurniakanlah kepada kami taat setia kepadaMu sepanjang hidup kami. Tuhan kami! Jadilah kami ikhlas kepadaMu, syukur kepadaMu, bertawakkal kepadaMu, taubat kepadaMu, khusyuk kepadaMu. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami mohon kepadaMu ketetapan di dalam urusan ini keazaman di dalam hidayah tolonglah kami mengingat Engkau menyebut namaMu mensyukuri Engkau baik ibadat kepadaMu.

Friday, January 11, 2013