Sunday, March 31, 2013

~mampu menahan marah dan pemaaf sifat terpuji~

~Renungan Bersama~




Daripada Sulaiman bin Sard, katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi Muhammad SAW, dua orang lelaki sedang bermaki-makian antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia berkata (baca), “aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam”, hilanglah marahnya. Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Sifat marah disemarakkan syaitan 


Perasaan marah yang disemarakkan oleh syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia, kerana itu untuk menghapuskan sebabnya (was-was syaitan) ialah dengan memohon perlindungan 

kepada Allah SWT. 


Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200) 

Seseorang yang dalam keadaan marah hendaklah membaca taawuz (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) untuk mendapatkan kesabaran. 

Orang yang alim (berilmu) hendaklah sentiasa menyampaikan (menyebarkan) ilmunya tidak kira masa dan tempat asalkan ilmu itu dapat dimanfaatkan (dinikmati). Meleraikan persengketaan yang berlaku antara dua pihak adalah dituntut oleh Islam. 

Sabar, tahan marah sifat terpuji 
Daripada Muaz bin Anas, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu bertindak menurut perasaan marahnya maka Allah akan menyerunya di hari kiamat di hadapan khalayak ramai (sebagai suatu penghormatan) sehingga Allah memberi pilihan kepadanya bidadari yang dia suka.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi) 

Allah SWT memuliakan orang yang sabar menahan marah. Menahan marah adalah sifat yang baik dan dipuji. Menahan marah dan memberi kemaafan dijanjikan ganjaran yang besar di sisi Allah. 

Kekuatan jiwa dan peribadi seseorang akan terserlah dalam situasi-situasi yang mencemaskan dan boleh menimbulkan kemarahan, iaitu dengan menguasai diri dan menahan marah. Antara ganjaran Allah di akhirat terhadap hambanya yang bersifat sabar ialah bidadari syurga.

cc : jakim

No comments:

Post a Comment