Wednesday, April 3, 2013

~Ceritera Hidup Ulama Islam ke 2~ (FALSAFAH MINDA)

   
 ~Doktor Pakar Falsafah dan Novelis~


Ibnu Thufayl 





 Bermula kisah hidupnya....


      Dunia Islam kini telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat tetapi falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan Barat berbanding ahli falsafah Islam. Beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi dan Ibnu Sina mendapat pengiktirafan Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat sewajarnya berbanding ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle. Ini mungkin disebabkan kajian mengenai mereka masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan sementara karya besar hasil tulisan sarjana serta ilmuan Islam belum diterjemahkan. Ibnu Thufayl hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah dengan sebab itulah beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibn Bajjah, Al Farabi dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain. namun begitu tidak kesemuanya diterima secara keseluruhan melainkan selepas dibahaskan secara kritis disamping beliau juga seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan dalam kehidupan mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.


Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibnu Thufayl atau nama sebenarnya Abu Bakar Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad Ibn Thufayl al-Qisi yang lahir pada 1106 M di Kota Wadi Ash (Guadix) sebuah kota yang subur di Granada Sepanyol. beliau telah diberi gelaran " Andalusi" dan " al-Qurthubi". Ibnu Thufayl dikenali sebagai ahli falsafah, perubatan dan ahli politik yang handal dan ketika pemerintahan al- Mu'min Ibn Ali beliau dilantik sebagai pembantu Gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Magribi. Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin ketika itu Sultan Abu Ya'kub (558-580 H/ 1163-1184 M) dan ketika hayatnya , Ibnu Thufayl pernah dilantik sebagi menteri selain dikenali sebagai ahli politik yang dihormati oleh pemerintah. (Muhammad Hanafis: 2010)


Selain itu beliau juga terlibat dalam bidang pendidikan, pengadilan dan penulisan. Antara karya-karyanya Asrar al-hikmah al-Mashiqiyyah, Fi al-Buqa' al Maskunah wal Ghair Al Maskunah, risalah Hayy Ibn Yaqzan. Walaupun Karya yang dihasilkan Ibnu Thufayl diketahui tidak banyak jumlahnya namun risalah Hayy Ibn Yaqzan merupakan sebuah novel falsafah yang terkenal merupakan salah satu diantara buku-buku yang paling cemerlang pada abad-abad pertengahan. Dalam risalah tersebut beliau berusaha memuatkan pandangannya secara umum dengan gaya bahasa menarik dan imaginasi indah. Risalah itu dianggap sebagai warisan yang paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam. Judul yang serupa turut ditulis oleh Ibnu Sina dan al Suhrawardi. ( Amroeni Drajat :2005) 


Menerusi risalahya itu, Ibnu Thufayl berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya. Justeru itu, beliau cuba untuk membuktikan kebenaran  kesatuan kebijaksanaan rasional dan mistik melalui kisah fiksyen. Melalui kisah ini beliau ingin memberikan penyelesaian terhadap permasalahan yang ditimbulkan oleh pertentangan antara falsafah dan agama, akal dan iman. Oleh yang demikian, beliau cuba untuk menemukan dua metod pemikiran yang saling berlawanan iaitu pemikiran falsafah yang didasari dengan akal fikiran dan metod pemikiran tasawuf dengan cara ini beliau menyatakan bahawa kita mencapai kepada kebenaran yang sejati (M. Hadi Masruri: 2005)



Di dalam buku Hay ibn Yaqzan, Ibn Thufayl cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia serta berusaha mengungkap persoalan hubungan antara manusia, akal dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hay ibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering dan basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera. Langkah Ibnu Thufayl menggunakan analog watak itu dalam bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah. Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibnu Thufayl mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya.


Seterusnya, Ibnu Thufayl melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh sementara dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini.Falsafah Ibnu Thufayl bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabi'i seperti fizik di mana beliau mendapati lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara. Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini, pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya.


Secara Ringkas Kisah Hidup Hayy Ibn Yaqzan



" Hayy  merujuk kepada nama seorang kanak-kanak.  Hayy adalah kanak-kanak yang dilahirkan tanpa mengenali ibu bapa disebuah pulau dikepulauan Hindi berdekatan dengan garisan Khatulistiwa (beriklim kahtulistiwa) Tetapi telah hadir seekor kijang / rusa yang menyusu dan memberinya makan sehinggalah kijang tersebut meninggal ketika beliau berusia 7 tahun. Setelah itu, beliau telah hidup sepertimana apa yang dilihat disekelilingnya dan menjalani kehidupan haiwannya, namun berdepan dengan kenyataan bahawa kulitnya tidak sama dengan haiwan dan dia belajar memenuhi keperluan hidupnya sendiri.



Beliau berusaha untuk mengetahui tentang kematian kijang tersebut dengan membelahnya dan melihat apa yang ada disebaliknya. Setelah itu, beliau mendapati bahawa ada sesuatu yang kosong didalam organ jantung disebelah kiri tersebut. Beliau merenung sumber, tempat, cara hilangnya dan bagaimana perkara tersebut berlaku. Beliau berfikir tubuh tersebut sama dengan semua kijang dan juga ibu kijangnya. justeru itu beliau mengatakan kematian itu hanyalah semata-mata akibat retaknya persatuan jiwa dan tubuh. Kecerdasan Hayy yang luar biasa menemukan bahawa ada suatu yang sama yang mengatur kematian ibunya. Beliau mula membahaskan tentang kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alam ini terdapat sebab-sebab yang tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya. Hayy bin Yaqzan selalu membahas dan menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu berfikir dan mengetahui bahawa kebahagiaan dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan Allah."



Setelah penemuan tentang kehidupan, beliau telah menemui Api.  Beliau telah mengkaji bagaimana ia berlaku dan mengaitkan dengan kehidupan sekelilingnya. Beliau melihat semua benda bergerak kebawah namun api tersebut telah bergerak keatas , hal ini menimbulkan keadaan yang berbeza . Oleh itu, beliau telah mengkaji bahagian lain selain alam , antaranya organ binatang susunannya, ukuran, jumlah kedudukannya serta persamaan diantara tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang pegun. Setelah itu, beliau telah menemui konsep-konsep umum berkaitan dengan bumi dan langit. Akhirnya beliau telah menyatakan bahawa alam semesta adalah satu dan adakah alam semesta ini diciptakan atau abadi.


Setelah penemuan tentang kehidupan, beliau telah menemui Api.  Beliau telah mengkaji bagaimana ia berlaku dan mengaitkan dengan kehidupan sekelilingnya. Beliau melihat semua benda bergerak kebawah namun api tersebut telah bergerak keatas , hal ini menimbulkan keadaan yang berbeza . Oleh itu, beliau telah mengkaji bahagian lain selain alam , antaranya organ binatang susunannya, ukuran, jumlah kedudukannya serta persamaan diantara tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang pegun. Setelah itu, beliau telah menemui konsep-konsep umum berkaitan dengan bumi dan langit. Akhirnya beliau telah menyatakan bahawa alam semesta adalah satu dan adakah alam semesta ini diciptakan atau abadi.


Meskipun beliau tidak dapat memutuskan secara rasional apakah alam semesta diciptakan atau abadi, beliau berkesimpulan bahawa pasti ada suatu sebab yang tetap bergantung dan sesungguhnya penyebab ini " necessary being" bersifat non fizik dan hakikatnya diatas itu, bahkan jika tidak pada waktunya tidak pada waktunya. Justeru itu, tidak ada penglihatan, pendengaran atau percakapan manusia yang dapat memahami keadaa ini kerana itu  ia terletak diluar dunia dan pengalaman akal.


Setelah itu,  Telah bertemu dengan Absal (Tokoh Sufi). Mereka saling menceritakan pengalaman spritual masing-masing. pada mulanya Hayy tidak dapat berkomunikasi dengannya kerana beliau tidak memahami bahasa manusia . Absal kemudian mengajarnya.  Absal menceritakan pengalaman kehidupannya dan juga pengetahuan yang diperolehi melalui wahyu sementara Hayy pula berkongsi pengalaman hidupnya dan perihal pengetahuan sejati (metafizik) yang diperolehi melalui akal rasional (An Nazhar al-Aqli) serta ketajaman intuisi (al quwwah al-hads). 


Atas ajakan Hayy , Absal bersetuju untuk membawa Hayy ke pulau tempat tinggal beliau supaya Hayy dapat memberitahu pengalamnnya memperolehi makrifah hakiki kepada masyarakat pulau tersebut. Pulau itu diperintah oleh seorang raja bernama Salman iaitu sahabat Absal sendiri. Salman menerima ajaran agama melalui ajaran nabi iaitu wahyu dan beliau lebih tertarik kepada erti zahir nas. Beliau menyukai hidup bermasyarakat dan melarang kehidupan beru'zlah.


Setelah itu, Hayy menceritakan ilmu makrifah hakiki yang dialami olehnya, penduduk pulau itu menerima Hayy dengan baik namun setelah Hayy menjelaskan pemikiran falsafahnya mereka mencemuh beliau. Hayy mendapat pengajaran bahawa orang awam tidak memahami dan tidak mampu menerima makrifat sejati. Akhirnya kedua-dua ini kembali ke dunia masing-masing, Absal meneruskan uzlahnya  sbagai sufi sementara Hayy meneruskan perjalanan dalam mencari kebenaran sejatinya sehingga beliau menemuinya. (M. Hadi Masruri: 2005)

Kesannya dari Kisah tersebut...


JIWA"- menurut Ibnu Thufayl jiwa manusia adalah makhluk yang tertinggi martabatnya. Manusia terdiri daripada 2 unsur iaitu JASAD dan ROH . Jasad tersusun dari dua unsur sedangkan jiwa tidak tersusun. Jiwa bukan jisim dan bukan pula suatu daya yang ada didalam jisim. Setelah jasad hancur atau mati jiwa terlepas dari jasad. Menurut Ibnu Thufayl, jiwa terdiri daripada tuga peringkat:

1) JIWA YANG RENDAH -jiwa tumbuhan (al-nafs al nabat)
2) JIWA YANG LEBIH TINGGI - jiwa haiwan (al-nafs al-hayawaniyyat)
3) JIWA YANG TINGGI DARJATNYA- jiwa manusia (al-nafs al-natiqat)

Keabadian jiwa manusia ada hubungannya dengan Allah, dan ia terbahagi kepada 3 peringkat :

1) Jiwa yang sebelum mengalami kematian jasad dan telah mengenal Allah dan mengagumi serta   
ingat kepada-Nya, maka jiwa seperti ini akan kekal dalam kebahgiaan.
2) Jiwa yang telah mengenal Allah tetapi melakukan maksiat dan melupakan Allah. Jiwa seperti ini akan kekal dalam kesengsaraan
3) Jiwa yang tidak pernah mengenal Allah selama hidupnya jiwa ini berakhir seperti haiwan

EPISTEMOLOGI- Ibnu Thufayl menjelaskan bahawa makrifat bermula daripada pancaindera. Ia diperoleh melalui pengamatan dan pengalaman dan pengetahuan inderawi. jiwa yang telah mendapat makrifat akan menjadi sedar sepenuhnya dan mengalami apa yang tidak pernah dilihat oleh mata didengar oleh telinga dan dirasai hati. Beliau menyatakan bahawa perhubungan dengan Allah melalui pemikiran akal yang murni hanya dapat dilakukan oleh orang-orang khusus (ahli makrifat) dan tidak bagi orang awam. 

firgur :
HAYY melambangkan akal yang dapat berkomunikasi dengan Tuhan, 

ABSAL melambangkan bagi wahyu dalam bentuk dalaman (kerohanian), 

SALMAN- melambangkan wahyu dalam bentuk luaran yang membawa kebenaran 

Wan Fariza Alyati Wan Ibrahim

Selain itu, pemikiran falsafah Ibnu Thufayl juga meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat apabila beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu membahaskannya. Ibnu Thufayl seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia. Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1185 Masihi di Marakesh. di Magribi dan Sultan sendiri menyempatkan diri menghadiri upacara pemakamannya.


Kesimpulannya, Ibnu Thufayl merupakan seorang tokoh ilmuan dan falsafah Islam yang terkenal. Beliau telah menjelaskan dan membuktikan bahawa manusia mampu berfikir dengan menggunakan akal. Melalui kisah-kisah yang disampaikan ia juga membawa manusia mengenal pencipta dan alam semesta yang ada serta memahami konsep-konsep yang terbentuk dalam kehidupan ini. Menurut Muhammad Yusuf Musa dalam karyanya "Bain ad Din wa al-Falsafah fi Ra'y Ibn Rusyd  wa al-Falasifah al Ashr Al Wasith" terbuktilah melalui perenungan dan pengamatan yang mendalam terhadap alam semesta mampu mencapai hakikat yang sebenar bahkan ia telah sampai kepada pengetahuan tentang Tuhan sebagai penyebab pertama dimana pengetahuan tersebut sesuai dengan pekembangan agama. ~Sekian... 



Rujukan: 

M.Hadi Masruri. Ibnu Thufail Jalan Mencari Pencerahan. 2005. Yogjakarta:  PT LKiS Pelangi

Muhammad Hanfi  S. Ilmuan Islam. 2010. Kuala Lumpur: Seribu Dinar Sdn Bhd.

Amroeni Drajat. Suhrawadi Kritik Falsafah Peripatetik.2005. Yogjakarta: LKiS  Yogjakarta.

No comments:

Post a Comment